BANDAR SERI BEGAWAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Brunei petang ini bagi memulakan lawatan kerja dua hari sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ALC-27) Malaysia-Brunei.
Pesawat khas yang membawa Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 6.10 petang.
Ketibaan Perdana Menteri disambut Menteri Luar Brunei, Putera Abdul Mateen Bolkiah.
Sepanjang lawatan itu, Anwar dijadual menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman esok.
Pertemuan berkenaan dijangka memberi tumpuan kepada perkembangan hubungan serta kerjasama dua hala Malaysia-Brunei, selain isu serantau yang mempunyai kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin turut dijadual menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama dalam pengurusan bencana antara kedua-dua negara.
ALC merupakan mekanisme peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala Malaysia-Brunei bagi menilai perkembangan kerjasama sedia ada serta meneroka bidang baharu yang boleh diperkukuh.
Dari sudut ekonomi, jumlah perdagangan Malaysia-Brunei merekodkan nilai RM5.86 bilion (AS$1.37 bilion) pada tahun lalu, mencerminkan hubungan ekonomi yang terus berkembang antara kedua-dua negara. – WacanaKini
