KUALA LUMPUR – Malaysia tidak mengubah pendiriannya dalam isu China dan Taiwan, sebaliknya terus berpegang kepada dasar luar yang telah digariskan sejak era pentadbiran Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam temu bual dengan media antarabangsa baru-baru ini adalah selaras dengan pendirian konsisten yang sekian lama dipegang Malaysia.
Justeru, beliau menolak dakwaan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa kenyataan Anwar itu boleh meletakkan Malaysia dalam kedudukan diplomatik yang sukar serta menyempitkan ruang diplomasi negara.
Menurutnya, pendirian yang disuarakan Perdana Menteri bukan sesuatu yang baharu atau menyimpang daripada dasar yang selama ini menjadi pegangan Wisma Putra.
“Tak benar. Pendirian Malaysia mengenai isu tersebut telah wujud sejak zaman Allahyarham Tun Abdul Razak dan pendirian kita tidak pernah berubah.
“Perdana Menteri hanya menyatakan perkara yang konsisten dengan pendirian Wisma Putra. Jadi tidak ada perubahan ataupun perbezaan dalam hal itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Kenduri Rakyat MADANI di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi turut mempersoalkan sikap Pas yang dilihat lantang mengulas isu antarabangsa, namun tidak menyatakan pendirian berhubung isu yang membabitkan kepentingan umat Islam di dalam negara, khususnya penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Katanya, laporan berkenaan mendedahkan pelbagai kelemahan dan ketidakcekapan dalam pengurusan akaun serta pelaburan Tabung Haji antara 2014 hingga 2017, termasuk kerugian membabitkan jutaan ringgit.
“Saya kesal apabila ada pihak yang banyak memberikan komentar mengenai perkara yang jauh daripada kita, tetapi dalam isu yang dekat dan penting kepada umat Islam seperti Tabung Haji, kita tidak mendengar sepatah pun pendirian mereka.
“Mereka sepatutnya meluangkan lebih banyak masa menelaah dan membahaskan laporan itu, lebih-lebih lagi apabila rakyat mengharapkan pembangkang memainkan peranan dalam Dewan Rakyat,” katanya.
Fahmi berkata, kerajaan ketika ini memberi tumpuan untuk memulihkan semula institusi penting umat Islam itu dan memastikan kelemahan pengurusan yang berlaku sebelum ini ditangani dengan sewajarnya. – WacanaKini
