BANDAR SERI BEGAWAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima Darjah Kerabat Laila Utama Yang Dihormati (DK) daripada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, hari ini sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan beliau.
Penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato Laila Utama itu berlangsung dalam satu istiadat di Cheradi Ratna Kenchana, Istana Nurul Iman.
Darjah berkenaan dikurniakan kepada kerabat diraja, ketua negara, ketua kerajaan dan pembesar asing yang diiktiraf atas jasa bakti serta sumbangan besar kepada Sultan dan negara Brunei.
Turut menyaksikan istiadat berkenaan ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Anwar turut menyertai senarai pemimpin Malaysia yang pernah menerima darjah kebesaran tertinggi itu, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud.
Penganugerahan itu berlangsung sempena lawatan kerja dua hari Anwar ke Brunei bagi menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei Ke-27 (ALC-27) bersama Sultan Hassanal Bolkiah.
Dalam pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin, beberapa isu berkepentingan bersama dibincangkan, termasuk jerebu rentas sempadan, isu sempadan darat dan laut, kerjasama sektor tenaga serta kemudahan laluan penduduk Brunei ke Sabah dan Sarawak.
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pengurusan bencana, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei. – WacanaKini
