PUTRAJAYA – Sebanyak 11 institusi kewangan dan syarikat penyedia sewa beli akan mula menawarkan kemudahan pembiayaan berdasarkan peruntukan baharu di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang berkuat kuasa mulai esok.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan akta itu merupakan langkah penting bagi memperkukuh perlindungan pengguna serta mewujudkan sistem pembiayaan sewa beli yang lebih telus, adil dan berintegriti.
Menurut beliau, fasa kedua pelaksanaan akan bermula pada September depan, manakala institusi kewangan yang masih menjalani proses penyesuaian sistem diberi tempoh peralihan sehingga 31 Mac 2027.
“Kami menggalakkan semua institusi kewangan dan penyedia sewa beli untuk melaksanakan kerangka baharu ini secepat mungkin dan memaklumkan kepada kementerian sebaik sahaja proses peralihan selesai.
“Reformasi ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus industri kredit pengguna serta melindungi hak dan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penguatkuasaan akta tersebut bermula secara rasmi pada 1 Jun 2026, selaras dengan pindaan yang diluluskan Parlimen tahun lalu sebagai sebahagian usaha memperkemas ekosistem kredit pengguna negara.
Seiring pelaksanaan itu, Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Caj Terma) 2026 turut mula berkuat kuasa.
Armizan berkata, antara isu utama yang sering dibangkitkan pengguna sebelum ini ialah beban caj faedah tersembunyi dan baki pinjaman yang masih tinggi walaupun peminjam mahu membuat penyelesaian awal.
Jelas beliau, pindaan baharu memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki dan Kadar Faedah Efektif bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap, sekali gus memastikan faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa.
“Pendekatan ini membolehkan penyelesaian awal pinjaman dibuat dengan lebih adil dan mencerminkan kos sebenar yang perlu ditanggung pengguna,” katanya.
Selain itu, akta yang dipinda turut membenarkan penggunaan tandatangan digital serta penyerahan dokumen secara elektronik bagi memudahkan urusan perjanjian sewa beli dan menyokong agenda pendigitalan negara.
Pada masa sama, dua lapisan proses pengesahan identiti peminjam turut diperkenalkan sebagai langkah memperkukuh keselamatan transaksi dan mengurangkan risiko penipuan dalam urusan pembiayaan. – WacanaKini
