Nasional Utama

Jojo kagum keyakinan Arif Aiman, puji aura bintang JDT di atas padang

ISKANDAR PUTERI – Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali mengakui kagum dengan tahap keyakinan dan aura yang dipamerkan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi ketika beraksi di atas padang.

Johan atau lebih mesra disapa Jojo berkata, beliau dapat melihat keyakinan tinggi pemain itu setiap kali menguasai bola ketika aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Sumbangsih) menentang Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim, pada Jumaat.

Menurutnya, bukan sahaja keupayaan teknikal Arif Aiman menarik perhatian, malah cara pemain itu membawa diri ketika mengawal permainan turut memperlihatkan keyakinannya.

“Saya fikir dari segi keyakinan dan selepas tengok mereka main, Arif Aiman memang mengagumkan.

“Saya boleh nampak setiap kali beliau menyentuh bola, termasuk aura yang dibawanya,” katanya.

Dalam aksi berkenaan, Arif Aiman turut diberi kepercayaan menyarung lilitan kapten JDT dan membantu pasukannya menewaskan Kuching City 3-0 untuk muncul juara Piala Sumbangsih.

Johan hadir menyaksikan perlawanan itu sebagai tetamu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dan menzahirkan penghargaan atas jemputan serta layanan yang diterimanya.

“Menjunjung kasih Tuanku atas jemputan dan kemesraan yang mengagumkan. Tahniah juga kepada JDT atas rekod dunia. Ini jelas menunjukkan tahap sebenar pasukan dalam perlawanan ini,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Selepas perlawanan, Jojo turut meluangkan masa beramah mesra serta bergambar bersama Tunku Ismail, Arif Aiman dan penyokong yang hadir di Stadium Sultan Ibrahim. – WacanaKini