KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara menunggu pelaksanaan penuh hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan dasar untuk melaksanakan hak berkenaan telah dibuat dan kini perbincangan hanya tertumpu kepada mekanisme serta formula pelaksanaannya.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI komited memastikan tuntutan Sabah di bawah MA63 direalisasikan dengan pendekatan yang teliti dan bertanggungjawab.
“Tiada lagi perbahasan mengenai sama ada hak 40 peratus itu perlu dilaksanakan atau tidak. Keputusan dasar telah dibuat dan kini kerajaan sedang memperincikan kaedah pelaksanaannya,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), hari ini.
Anwar berkata, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah masih diteruskan kerana sebarang keputusan berkaitan MA63 mempunyai implikasi terhadap hubungan fiskal dengan negeri-negeri lain.
Beliau menegaskan kerajaan tidak berniat melengah-lengahkan proses tersebut, sebaliknya mahu memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan yang menyeluruh.
Dalam perkembangan sama, Anwar mengumumkan bayaran interim kepada Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion sebagai langkah sementara sehingga penyelesaian muktamad berhubung hak 40 peratus dicapai.
Katanya, keputusan itu dibuat walaupun kerajaan berdepan cabaran kewangan akibat ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global yang memberi kesan kepada hasil negara serta perbelanjaan subsidi.
“Bayaran interim ini bukan penyelesaian akhir, tetapi ia mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memenuhi tanggungjawab kepada Sabah sementara rundingan diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berharap kadar pemberian khas kepada Sabah dapat disemak dan ditingkatkan bagi memperkukuh kedudukan kewangan negeri serta membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan.
Sementara itu, Anwar turut menolak dakwaan bahawa Sabah dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, meskipun hasil yang dikutip daripada Sabah tahun lalu dianggarkan sekitar RM10 bilion, jumlah peruntukan pembangunan, bantuan dan perbelanjaan yang disalurkan semula ke negeri itu mencecah kira-kira RM17 bilion.
“Kerajaan tetap komited melaksanakan hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63, selain terus menyalurkan bantuan dan pembangunan demi kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya. – WacanaKini
