KUALA LUMPUR – Keputusan Datuk Seri Rafizi Ramli untuk menyertai atau menerajui parti politik baharu merupakan hak beliau dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Menurut Akmal, setiap individu mempunyai kebebasan untuk memilih platform politik yang selari dengan perjuangan dan pendirian masing-masing.
“Saya yakin semua pihak mempunyai ruang untuk terlibat dalam mana-mana parti politik mengikut kesesuaian dan pilihan mereka sendiri.
“Perkara ini mencerminkan komitmen kita dalam memperkukuh budaya politik yang lebih matang dan demokratik,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penglibatan Rafizi bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam parti Bersama.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.
Ketika ditanya sama ada beliau akan mengikut langkah Rafizi meninggalkan PKR, Ahli Parlimen Johor Bahru itu hanya tersenyum tanpa memberikan jawapan lanjut.
“Memang nakal reporter ni,” katanya sambil berseloroh.
Sebelum ini, Akmal sering dilihat sebagai antara pemimpin yang mempunyai hubungan rapat dengan kem Rafizi dalam PKR.
Pada 17 Mei lalu, Rafizi dan Nik Nazmi dilaporkan mengambil alih kepimpinan parti Bersama, sebuah parti politik yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam. – WacanaKini
