Nasional Utama

TLDM tamatkan operasi Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah selepas hampir sedekad berkhidmat

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasmi menamatkan operasi Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) di Semporna, Sabah selepas hampir 10 tahun berperanan sebagai pangkalan hadapan strategik dalam menjaga keselamatan perairan Sabah Timur.

Majlis pembubaran pangkalan tersebut disempurnakan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris dalam satu istiadat ketenteraan yang berlangsung di bawah Markas Wilayah Laut 2.

Menurut TLDM, PL TSR memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan kehadiran pasukan keselamatan negara di kawasan Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE) sejak mula beroperasi pada 31 Julai 2015.

“Pangkalan ini menjadi aset strategik yang menyokong operasi keselamatan maritim, pemantauan kawasan berkepentingan serta mempercepatkan tindak balas terhadap sebarang ancaman di perairan Sabah Timur.

“Kedudukannya yang strategik turut melambangkan komitmen berterusan TLDM dalam mempertahankan kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.

PL TSR mempunyai sejarah unik apabila asalnya merupakan sebuah platform pengeluaran minyak luar pesisir mudah alih (Mobile Offshore Production Unit) dikenali sebagai Hercules 259 yang dibina di Houston, Amerika Syarikat pada 1973.

Menerusi kerjasama strategik antara TLDM, PETRONAS dan Sapura Kencana, platform tersebut diubah suai menjadi pangkalan laut hadapan bagi memenuhi keperluan keselamatan negara di perairan Sabah Timur.

Pangkalan itu kemudiannya dirasmikan pada 28 Mei 2016 dan dinamakan sempena Allahyarhamah Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, isteri kepada Perdana Menteri pertama negara.

Walaupun operasi PL TSR kini ditamatkan, TLDM memberi jaminan bahawa fungsi dan peranannya akan diteruskan melalui Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ) yang akan mengambil alih tugas sebagai pangkalan hadapan bergerak di kawasan strategik berkenaan.

TLDM menegaskan langkah itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kesiapsiagaan operasi serta menyesuaikan keupayaan aset dengan keperluan keselamatan maritim semasa.

“TLDM akan terus meningkatkan keupayaan operasi bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan tersebut. – WacanaKini