Nasional Utama

Fadhlina lancar Kelab Perempuan Membaca sempena PBAKL 2026

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan Kelab Perempuan Membaca sebagai inisiatif baharu untuk memperkukuh budaya membaca dan membudayakan ilmu dalam kalangan wanita serta kanak-kanak perempuan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kelab tersebut diwujudkan bagi menghimpunkan lebih ramai wanita yang mempunyai minat terhadap pembacaan, termasuk golongan ibu, remaja dan kanak-kanak.

Menurut beliau, usaha itu juga bertujuan memastikan akses kepada bahan bacaan terus diperkasakan dalam apa jua keadaan.

“Kelab ini diwujudkan untuk menghimpunkan seramai mungkin wanita pembaca, para ibu yang membudayakan pembacaan, gadis muda yang mencintai ilmu serta kanak-kanak perempuan yang gemar membaca.

“Pada masa sama, ia menjadi platform penting bagi memastikan budaya membaca dan akses kepada bahan bacaan terus subur walaupun berdepan pelbagai cabaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pelancaran kelab berkenaan diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula semalam hingga 7 Jun ini.

Fadhlina turut mengajak masyarakat untuk menyokong usaha tersebut sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh budaya ilmu dan literasi dalam negara.

Beliau berharap penubuhan Kelab Perempuan Membaca dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih berilmu, berfikiran kritis dan menjadikan amalan membaca sebagai budaya hidup.

“Kelab Perempuan Membaca melambangkan citra wanita yang cerdas akal serta tinggi nilai budinya,” katanya. – WacanaKini