Nasional Utama

Pahang, PEKAP perkukuh kerjasama demi kebajikan anak negeri di perantauan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pahang dan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) berhasrat memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan kebajikan anak-anak Pahang yang menetap di ibu negara dan perantauan terus diberi perhatian.

Usaha itu menjadi fokus pertemuan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal bersama kepimpinan PEKAP ketika mengadakan lawatan ke ibu pejabat persatuan berkenaan di sini, baru-baru ini.

Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong turut bertemu Presiden PEKAP, Azman Shah Abdullah serta barisan jawatankuasa persatuan itu.

Menurut PEKAP, pertemuan berkenaan membuka ruang penting untuk mempererat hubungan serta menyelaras kerjasama antara persatuan itu dengan Kerajaan Negeri Pahang.

“Fokus utama adalah sentiasa meletakkan kebajikan anak-anak Pahang di ibu kota dan perantauan sebagai agenda bersama,” menurut kenyataan PEKAP.

Persatuan itu berharap sinergi yang terjalin dapat terus diperkasakan sekali gus memberi manfaat lebih menyeluruh kepada warga Pahang di luar negeri.

Sementara itu, PEKAP turut membuat persiapan bagi Sambutan Jubli Intan 60 Tahun persatuan berkenaan apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat pengurusan acara, Orlaith Inc.

Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pengurusan penajaan dana serta penganjuran Majlis Jamuan Diraja sempena sambutan ulang tahun ke-60 PEKAP.

Majlis berkenaan dijadualkan berlangsung di MATRADE Hall pada November ini.

MoU itu ditandatangani oleh Azman Shah bagi pihak PEKAP, manakala Orlaith Inc. diwakili Pengarah Urusannya, Azam Ismail Bakri, dalam satu majlis di sini baru-baru ini.- WacanaKini