KANGAR – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri melibatkan Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan sehingga jam 9 malam ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 6.25 petang, METMalaysia memaklumkan beberapa daerah di Kedah, Perak, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami cuaca buruk dalam tempoh tersebut.
Di Kedah, kawasan terlibat ialah Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Perak membabitkan daerah Kerian serta Larut, Matang dan Selama.
Bagi Pantai Timur, amaran dikeluarkan untuk daerah Dungun dan Kemaman di Terengganu serta Lipis di Pahang.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka melanda beberapa kawasan termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
Antara daerah yang terlibat ialah Kuching, Sri Aman, Betong, Kapit dan Bukit Mabong, selain Subis, Beluru, Miri serta Marudi.
Sementara itu di Sabah, amaran melibatkan kawasan Pedalaman meliputi Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Nabawan, selain beberapa kawasan di Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat.
Wilayah Persekutuan Labuan turut berada dalam kawasan yang dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan aktiviti luar yang berisiko serta mengikuti perkembangan cuaca semasa menerusi saluran rasmi METMalaysia. – WacanaKini
