Nasional Utama

Aerotrain KLIA kembali beroperasi 24 jam bermula tengah malam ini

SEPANG – Perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan kembali beroperasi sepanjang masa bermula tengah malam ini selepas Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) bagi sistem tersebut berjaya diselesaikan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan CAP yang bermula sejak November 2025 dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan telah melalui proses penilaian oleh pihak bebas.

Menurut beliau, pelan itu merangkumi beberapa fasa penting termasuk pemeriksaan serta pembaikan sistem, ujian teknikal dan pengesahan operasi sebelum perkhidmatan dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

“CAP dilaksanakan melalui tiga peringkat utama iaitu kerja pemeriksaan dan pembaikan, ujian serta pengesahan sistem, diikuti operasi percubaan.

“Ujian ketahanan turut dijalankan selama 24 jam dan 48 jam dalam keadaan berpenumpang serta tanpa penumpang bagi memastikan sistem berada pada tahap terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anthony berkata, sejak Januari 2026, Aerotrain telah mencatatkan tahap Ketersediaan Perkhidmatan Operasi sebanyak 100 peratus.

Beliau menjelaskan bahawa kerja penyelenggaraan harian tetap akan diteruskan antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi memastikan sistem sentiasa berada dalam keadaan optimum.

“Dalam tempoh tersebut, sebuah tren akan terus beroperasi bagi memastikan perkhidmatan kepada penumpang tidak terjejas ketika pemeriksaan dan penyelenggaraan rutin dijalankan,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan menerusi APAD akan terus memantau dan mengawasi operasi Aerotrain, manakala Malaysia Airports bertanggungjawab memastikan tahap perkhidmatan yang ditetapkan terus dipatuhi.

Langkah itu dijangka meningkatkan keselesaan dan kelancaran pergerakan penumpang di KLIA, khususnya bagi penerbangan yang beroperasi pada waktu malam dan awal pagi. -WacanaKini