Utama

PM Anwar puji TH raih Anugerah Labbaitom lima tahun berturut-turut

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) selepas institusi itu sekali lagi mengharumkan nama negara dengan meraih Anugerah Labbaitom daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Menurut Anwar, kejayaan meraih pengiktirafan berprestij itu untuk tahun kelima berturut-turut membuktikan kecemerlangan Malaysia dalam aspek pengurusan dan kebajikan jemaah haji.

Beliau berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen tinggi, profesionalisme serta dedikasi warga TH dan petugas haji dalam memastikan kebajikan serta keperluan jemaah Malaysia sentiasa terpelihara.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha berterusan seluruh pasukan TH yang komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Amal by Malaysia Airlines (Amal) yang menerima Anugerah Misk Al-Khitam atas kecemerlangan syarikat itu dalam mengendalikan urusan ketibaan jemaah haji bagi musim 1447 Hijrah.

Beliau berkata, pengiktirafan yang diterima oleh TH dan Amal membuktikan keupayaan institusi serta syarikat Malaysia untuk bersaing dan mencapai standard tinggi di peringkat antarabangsa.

“Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan serta mengharumkan nama Malaysia dalam usaha melayani para tetamu Allah SWT,” katanya.

Anugerah Labbaitom merupakan pengiktirafan tahunan yang diberikan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada pengurus jemaah haji dari seluruh dunia yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan operasi haji. – WacanaKini