IPOH – Seorang pensyarah Politeknik Ungku Omar (PUO) maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Pinji Seni 5, di sini pagi tadi.
Mangsa, Sarafuddin Alang Osman, 59, yang bertugas di Jabatan Kejuruteraan Perkapalan PUO, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 10 pagi melibatkan sebuah Perodua Myvi yang dipandu lelaki tempatan dan sebuah motosikal jenis Benelli Napoleon 500.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Ipoh sebelum membelok ke kanan untuk memasuki satu simpang.
“Ketika kenderaan itu membelok, motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kereta tersebut.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan serius dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Muhammad Najib memaklumkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati mangsa meninggal dunia akibat pelbagai kecederaan yang dialami dalam kemalangan tersebut.
Katanya, kedua-dua kenderaan yang terlibat telah dibawa untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) bagi membantu siasatan.
Polis turut menjalankan usaha mengesan saksi bebas serta mendapatkan rakaman kamera papan pemuka yang mungkin dapat membantu mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya. Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sabrina Anita Abd Samat di talian 05-2451537 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, PUO menerusi satu hantaran di Facebook menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada institusi berkenaan.
Menurut kenyataan itu, jasa serta sumbangan Allahyarham sepanjang berkhidmat di Jabatan Kejuruteraan Perkapalan akan sentiasa dikenang oleh seluruh warga PUO. – WacanaKini
