Jenayah Utama

AMK Perlis sokong pendirian Mufti, isu roboh kuil perlu berlandaskan undang-undang

KANGAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis menyokong pendirian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa isu perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi perlu dinilai berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang, bukannya dijadikan polemik politik, kaum atau agama.

Ketua AMK Perlis, Azzin Izzad Bahanudin berkata, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan mengikut peraturan tidak seharusnya dieksploitasi sehingga boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

Beliau berkata, jaminan kebebasan beragama di bawah Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati, namun ia tidak bermakna undang-undang berkaitan pemilikan tanah dan pembinaan boleh diketepikan.

“Sekiranya sesuatu struktur dibina tanpa kebenaran atau hak milik yang sah dan proses sewajarnya telah dilaksanakan, maka tindakan penguatkuasaan perlu dihormati.

“Pada masa sama, AMK Perlis tetap mempertahankan hak masyarakat Hindu dan penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dibuat susulan pandangan Mohd Asri yang menegaskan Malaysia ialah sebuah negara berasaskan undang-undang dan setiap pihak perlu mematuhi peraturan berkaitan pemilikan serta penggunaan tanah.

Menurut Mufti Perlis itu, peraturan yang sama turut terpakai terhadap pembinaan rumah ibadat sebagaimana pembinaan bangunan persendirian, dan tiada pihak boleh menceroboh tanah milik orang lain atau tanah awam sesuka hati.

Mengulas lanjut, Azzin Izzad berkata isu perobohan kuil berkenaan tidak wajar digunakan untuk meniup sentimen perkauman dan keagamaan.

Sebaliknya, beliau berkata semua pihak perlu memberi keutamaan kepada fakta serta proses undang-undang yang terlibat dalam tindakan penguatkuasaan tersebut.

Isu itu mendapat perhatian selepas Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Barisan Nasional (BN) menilai semula kerjasamanya dengan Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan merobohkan kuil terbabit.

Rayer, yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, mendakwa tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan PN menghormati kepelbagaian kaum dan agama jika gabungan berkenaan diberi peluang mentadbir di peringkat Persekutuan.

Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan kerjasama UMNO, MCA dan MIC bersama PN dalam pilihan raya Negeri Sembilan sebelum ini. – WacanaKini