BANDA HILIR – Kementerian Komunikasi akan melaksanakan keperluan pengesahan identiti bagi semua individu atau organisasi yang mahu menyiarkan iklan berbayar di platform media sosial sebagai langkah memperkukuh usaha membanteras penipuan dalam talian.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, syarat baharu itu akan dikuatkuasakan menerusi Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa esok.
Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan menangani pelbagai bentuk penyalahgunaan platform digital termasuk iklan pelaburan palsu, penipuan kewangan, perjudian dalam talian dan penggunaan wajah individu terkenal tanpa kebenaran.
“Kita sering melihat iklan berbayar yang menggunakan identiti tokoh terkenal bagi mempromosikan skim pelaburan meragukan, penipuan kewangan dan perjudian.
“Selama ini sukar untuk mengambil tindakan kerana identiti pihak yang membayar iklan berkenaan tidak dapat dikenal pasti,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka bagi DUN Banda Hilir di Taman Kota Laksamana Cheng Ho, hari ini.
Teo berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mewajibkan penyedia platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti terhadap semua pengiklan sebelum iklan berbayar dibenarkan disiarkan.
Beliau menjelaskan, peraturan itu terpakai kepada platform media sosial yang memiliki lebih lapan juta pengguna di Malaysia dan diklasifikasikan sebagai pemegang lesen.
Dalam perkembangan sama, Teo berkata penyedia platform digital turut digesa mematuhi sepenuhnya RMC dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang turut berkuat kuasa mulai esok bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna internet.
Mengulas mekanisme pengesahan umur pengguna media sosial, beliau berkata dokumen rasmi seperti kad pengenalan atau pasport akan digunakan bagi memastikan individu bawah usia 16 tahun tidak membuka akaun media sosial tanpa kawalan sewajarnya.
Katanya, walaupun terdapat segelintir ibu bapa yang masih menyesuaikan diri dengan kaedah baharu itu, kebanyakan mereka menyokong usaha kerajaan dalam menangani ancaman seperti buli siber, antun seksual kanak-kanak dan eksploitasi dalam talian.
“Kerajaan akan memberi tempoh yang munasabah kepada platform untuk melaksanakan keperluan ini, namun tahap pematuhan yang tinggi amat diharapkan demi keselamatan pengguna,” katanya. – WacanaKini
