Politik Utama

PDRM tegaskan kawalan di kediaman Tunku Besar Tampin demi keselamatan, bukan sokong mana-mana pihak

SEREMBAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan kehadiran anggota keselamatan di kawasan pintu masuk Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin hari ini adalah semata-mata bagi menjaga ketenteraman awam, keselamatan orang ramai serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Alzafny Ahmad berkata, penugasan anggota dan pegawai polis di lokasi tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran orang ramai di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, Ketua Polis Daerah Tampin telah mengatur kawalan keselamatan dan pemantauan bagi memastikan keadaan kekal terkawal serta tidak berlaku sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Tindakan ini dilaksanakan selaras dengan fungsi dan tanggungjawab PDRM di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 untuk memelihara keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam, selain mencegah sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan bahawa polis telah menerima salinan perintah mahkamah berkaitan isu berkenaan dan akan terus menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung.

Katanya, segala tindakan yang diambil oleh pihak polis adalah berlandaskan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bertenang, mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau mengganggu proses yang sedang berjalan.

“Setakat ini keadaan keselamatan di lokasi adalah terkawal dan PDRM akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya. – WacanaKini