KANGAR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan semua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang berkhidmat di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) berada dalam keadaan selamat susulan insiden bedilan mortar yang mengorbankan seorang anggota pengaman dari Sepanyol.
Dalam kenyataan hari ini, ATM memaklumkan serangan yang berlaku di kawasan UNP 7-2 (SPANBATT) di Sektor Timur Selatan Lubnan pada 3 Jun lalu menyebabkan tiga anggota Spanish Battalion (SPANBATT) cedera, dengan seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia semalam.
Sehubungan itu, ATM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota yang terkorban serta mendoakan kesembuhan segera buat mereka yang cedera.
Menurut ATM, pihaknya memandang serius sebarang serangan terhadap pasukan pengaman antarabangsa dan menegaskan tindakan sedemikian merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
“ATM menegaskan pendirian bahawa sebarang bentuk serangan, termasuk tembakan tidak langsung ke atas pasukan pengaman, adalah satu pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 1701 UNSC,” menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah berjaga-jaga, ATM telah meningkatkan tahap keselamatan dan perlindungan pangkalan MALBATT 850-13 kepada tahap amaran tertinggi atau Status Level Red.
Susulan itu, semua aktiviti rondaan digantung sementara dan anggota MALBATT kini beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta Rules of Engagement (ROE) pertahanan yang paling ketat seperti ditetapkan Markas UNIFIL.
ATM turut memaklumkan bahawa Markas Angkatan Bersama (MK AB) terus memantau perkembangan semasa secara berterusan bagi memastikan keselamatan anggota negara yang sedang melaksanakan misi pengaman di kawasan konflik tersebut sentiasa terpelihara. – WacanaKini
