PUTRAJAYA – Kerajaan menyerahkan surat tawaran kepada Oppstar Technology Sdn Bhd dan Alphaswift Industries Sdn Bhd bagi mendapatkan akses kepada teknologi Arm Compute Subsystem (CSS) dan program Arm Flexible Access (AFA), dalam usaha memperkukuh ekosistem reka bentuk cip tempatan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kemudahan itu adalah sebahagian daripada kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan penyedia teknologi semikonduktor global, Arm Limited (Arm), khususnya untuk memperluas keupayaan reka bentuk litar bersepadu (IC) serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi negara.
Menurutnya, akses kepada teknologi pengkomputeran Arm membolehkan syarikat tempatan mempercepatkan proses reka bentuk mikrocip dan pembangunan mikroelektronik termaju, termasuk bagi aplikasi dalam sektor dron.
“Setakat ini, lapan akses teknologi Arm telah ditawarkan kepada lima syarikat tempatan yang memenuhi kriteria teknikal ditetapkan, melibatkan empat akses Arm CSS dan empat token Arm Flexible Access.
“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk bergerak daripada kekuatan tradisional dalam pemasangan, pempakejan dan pengujian cip kepada aktiviti bernilai lebih tinggi seperti reka bentuk cip dan penyelidikan teknologi termaju,” katanya pada majlis penyerahan surat tawaran di kementeriannya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, pembangunan bakat turut menjadi antara komponen penting kerjasama strategik berkenaan.
Sehingga kini, katanya, seramai 1,530 peserta telah mengikuti program Arm On-Demand Training daripada sasaran melahirkan 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun.
Kerajaan, menurut beliau, mahu akses kepada teknologi global itu menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak reka bentuk cip, harta intelek dan produk berteknologi tinggi yang dibangunkan di Malaysia.
“Ia menjadi asas untuk melahirkan lebih banyak syarikat dan jurutera tempatan yang berkeupayaan membawa produk cip dibangunkan di negara ini ke pasaran global,” katanya.
Beliau berkata, persetujuan juga telah dicapai bersama 12 universiti, dengan sokongan kementerian, agensi dan pemain industri, bagi melaksanakan program Arm On-Demand Training secara lebih tersusun.
Menurutnya, kerjasama rapat antara institusi pengajian tinggi dan industri penting bagi memastikan latihan yang diberikan menepati keperluan sebenar sektor teknologi dan semikonduktor.
“Kita perlu beralih daripada sekadar mengejar kekurangan bakat kepada membina perancangan tenaga mahir yang lebih tersusun kerana bakat perlu dibangunkan sebelum permintaan industri menjadi kritikal,” katanya.
Akmal Nasrullah turut menggalakkan lebih banyak syarikat teknologi tempatan yang mempunyai keupayaan dalam pembangunan produk dan reka bentuk cip supaya memanfaatkan peluang di bawah kerjasama strategik Malaysia-Arm.
Katanya, penyertaan lebih meluas daripada industri tempatan penting untuk mempercepat pembangunan teknologi dan harta intelek Made by Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam ekosistem semikonduktor global. – WacanaKini
