KAJANG – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengesahkan pembinaan sebuah flat yang tular dan dikaitkan dengan komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat dilakukan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.
MPKj menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan pembangunan atau pembinaan bagi struktur berkenaan melalui sistem permohonan dalam talian yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan bersama beberapa agensi kerajaan berkaitan susulan aduan dan perhatian awam terhadap penempatan tersebut.
“MPKj telah menjalankan operasi penguatkuasaan bersama agensi kerajaan yang berkaitan serta mengeluarkan notis dan arahan mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
“Lawatan ke lokasi turut dilakukan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat bagi meneliti keadaan semasa di kawasan terbabit,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
MPKj berkata, tindakan lanjut akan diambil berdasarkan keputusan dan arahan yang diputuskan hasil penyelarasan antara agensi terlibat.
Isu berkenaan sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas tular video yang dimuat naik penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin mengenai kewujudan sebuah flat empat tingkat yang didakwa dihuni komuniti Rohingya.
Video tersebut turut memaparkan keadaan bangunan yang uzur selain menimbulkan persoalan mengenai sambungan bekalan air dan pendawaian elektrik yang dipercayai dilakukan secara meragukan.
Dalam pada itu, MPKj menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dalam membanteras sebarang aktiviti atau pembangunan yang melanggar peraturan serta undang-undang di bawah bidang kuasanya.
“MPKj sentiasa komited mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang demi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Pihak berkuasa tempatan itu turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat dan menunjukkan keprihatinan terhadap isu yang berlaku di kawasan berkenaan. – WacanaKini
