KAJANG – Isu penempatan yang didakwa dihuni komuniti Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat terus menjadi perhatian selepas tular semula notis penguatkuasaan yang pernah dikeluarkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) beberapa tahun lalu.
Perkara itu mencetuskan perbincangan baharu dalam kalangan pengguna media sosial susulan pendedahan mengenai kewujudan sebuah bangunan empat tingkat yang didakwa dibina tanpa kelulusan di kawasan berkenaan.
Berdasarkan semakan terhadap hantaran rasmi MPKj bertarikh 24 Disember 2020, pihak berkuasa tempatan itu pernah mengarahkan pemilik lot dan pengusaha rumah sewa terbabit mengosongkan bangunan berkenaan dalam tempoh 30 hari.
Arahan tersebut dikeluarkan selepas MPKj mendapati penempatan yang dibina di kawasan rizab sungai itu tidak mempunyai kelulusan sah daripada pihak berkuasa.
Hantaran berkenaan kembali tular sejak kebelakangan ini apabila ramai pengguna media sosial berkongsikannya semula susulan timbulnya pelbagai persoalan mengenai status penempatan tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berkata, satu mesyuarat khas melibatkan pihak berkuasa berkaitan akan diadakan bagi meneliti isu berkenaan.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Pegawai Daerah Hulu Langat berhubung dakwaan yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.
“Setelah berbincang dengan Pegawai Daerah, satu mesyuarat khas bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan akan diadakan bagi membincangkan isu penempatan haram yang tular ini,” katanya.
Sebelum ini, isu tersebut mendapat perhatian ramai selepas tular video dimuat naik penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin yang memaparkan sebuah bangunan flat usang empat tingkat dipercayai didiami komuniti Rohingya.
Video itu turut menimbulkan persoalan mengenai keadaan bangunan, termasuk sambungan bekalan air dan pendawaian elektrik yang didakwa mencurigakan di kawasan berkenaan.
Mesyuarat khas yang dijadualkan berlangsung dijangka meneliti status penempatan tersebut serta tindakan lanjut yang boleh diambil oleh pihak berkuasa. – WacanaKini
