GEORGE TOWN – Polis mengesahkan pekerja warga Myanmar yang ditemukan maut dalam kebakaran sebuah premis di Jalan Penang, di sini, meninggal dunia akibat terhidu asap tebal ketika kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan smoke inhalation atau terhidu asap.
Menurut beliau, siasatan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang dikaitkan dengan kematian lelaki berusia 56 tahun itu.
“Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat terhidu asap ketika kebakaran berlaku.
“Pemeriksaan lanjut juga tidak menemukan sebarang unsur jenayah pada mayat mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pada malam Sabtu, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran pintu masuk utama premis yang terbakar sebelum disahkan meninggal dunia.
Difahamkan, lelaki tersebut merupakan pekerja kepada kontraktor yang sedang menjalankan kerja pengubahsuaian bangunan berkenaan untuk dijadikan sebuah restoran.
Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 8.50 malam.
Kebakaran melibatkan Bangunan Odeon, sebuah premis dua tingkat kategori Kelas A berkeluasan kira-kira 50 x 300 kaki persegi.
Api yang marak dilaporkan memusnahkan kira-kira 70 peratus struktur bangunan sebelum berjaya dikawal oleh pasukan bomba.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut. – WacanaKini
