TAPAH – Kira-kira 50 tok batin serta wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta tampil membuat laporan polis bagi membantah penyebaran dakwaan yang mengaitkan Tok Batin Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu dengan kehilangan pendaki wanita, Jaslinda Saludin.
Tindakan itu diambil susulan penularan sebuah video di media sosial yang didakwa mengandungi fitnah dan tuduhan tidak berasas terhadap Tok Batin Mohd Asmmadi Abdullah, sekali gus menjejaskan reputasi beliau serta institusi kebatinan Orang Asli.
Tok Batin KOA Lata Kinjang, Rani Bah Ulin berkata, masyarakat Orang Asli memandang serius dakwaan kononnya Mohd Asmmadi menyembunyikan Jaslinda sepanjang tempoh wanita itu dilaporkan hilang sebelum ditemui oleh penduduk Orang Asli berhampiran KOA Lubuk Gaharu.
Menurutnya, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah dianggap menghina seluruh komuniti Orang Asli yang selama ini sering membantu masyarakat tanpa mengira kaum, khususnya dalam situasi kecemasan dan operasi menyelamat.
“Kami amat kesal dengan dakwaan tersebut kerana ia memberi gambaran seolah-olah masyarakat Orang Asli mengambil kesempatan terhadap individu yang berada dalam kesusahan.
“Ini bukan sekadar serangan terhadap Tok Batin Asmmadi, tetapi turut mencalar maruah institusi kebatinan yang selama ini memainkan peranan penting dalam komuniti,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada Jumaat.
Sebelum ini, sebuah video yang tular di TikTok mendakwa Jaslinda kononnya ‘disimpan’ oleh tok batin selama dua minggu dan mendakwa wanita itu mungkin dikahwini sekiranya kes kehilangan tersebut tidak mendapat perhatian umum.
Sementara itu, wakil belia Orang Asli, Eris Joshan Chew Ho Beng, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyebarkan kandungan berkenaan.
Beliau berkata, tuduhan sedemikian bukan sahaja menjejaskan imej tok batin yang terlibat dalam usaha pencarian mangsa, malah memberi persepsi negatif terhadap keseluruhan masyarakat Orang Asli.
“Komuniti Orang Asli juga mempunyai maruah dan harga diri yang perlu dihormati. Apa yang dianggap sebagai gurauan oleh sesetengah pihak boleh menjadi satu penghinaan besar kepada seluruh masyarakat kami,” katanya. – WacanaKini
