Politik Utama

Tunku Nadzaruddin hilang gelaran Tunku Panglima Besar, istiadat pemasyhuran didakwa tidak sah

SEREMBAN – Istana Negeri Sembilan menegaskan Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Jaafar tidak lagi menyandang gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan selepas didakwa cuba menerima gelaran Yang di-Pertuan Besar (YDPB) menerusi satu majlis yang tidak diiktiraf oleh institusi diraja negeri.

Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Hazizi Mohamad Ali berkata, majlis yang didakwa sebagai Istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun lalu tidak mempunyai sebarang kedudukan dari segi Perlembagaan, undang-undang mahupun adat istiadat Negeri Sembilan.

Menurut beliau, sebarang gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba diterima melalui majlis berkenaan tidak mempunyai kesan perundangan dan tidak diiktiraf oleh pihak istana.

“Majlis yang dikatakan sebagai Istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 itu adalah tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.

“Dengan cuba menerima gelaran yang tidak sah tersebut, Tunku Nadzaruddin secara sendirinya telah melepaskan gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang disandang sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Susulan perkembangan itu, Hazizi memaklumkan jawatan Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan kini kosong dan tidak disandang oleh mana-mana individu.

Pada 6 Jun lalu, media melaporkan bahawa Tunku Nadzaruddin telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis khas yang dianjurkan oleh anggota Dewan Keadilan dan Undang (DKU) di sebuah hotel di Melaka.

Majlis tersebut dihadiri Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, manakala Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin serta Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid mengikuti majlis berkenaan secara sidang video.

Sebelum istiadat itu berlangsung, beberapa laporan turut menyebut berlaku ketegangan apabila beberapa pembesar adat didakwa tidak dibenarkan bertemu Tunku Nadzaruddin di hotel berkenaan.

Kenyataan terbaharu pihak istana dijangka terus mencetuskan perhatian terhadap kemelut melibatkan institusi adat dan diraja Negeri Sembilan yang menjadi tumpuan umum sejak kebelakangan ini. – WacanaKini