Politik Utama

Tiga tahun terajui Melaka, persepsi terhadap Ab Rauf mula berubah

MELAKA – Selepas lebih tiga tahun menerajui pentadbiran Melaka, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilihat semakin mendapat penerimaan sebahagian rakyat berdasarkan komitmen beliau turun padang dan melaksanakan agenda pembangunan negeri.

Perubahan sentimen itu antara lain dapat dilihat menerusi maklum balas pengguna media sosial yang sebelum ini mengkritik kepimpinan Ab Rauf, namun kini mengakui perubahan selepas melihat sendiri pendekatan beliau dalam mendekati rakyat.

Ab Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 31 Mac 2023, menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang meletakkan jawatan atas faktor kesihatan.

Antara yang berkongsi perubahan pandangan ialah pengguna Facebook, Tok Dalang’s, yang mengakui pada awalnya kurang menyenangi Ab Rauf berikutan cara beliau mengambil alih jawatan Ketua Menteri.

Bagaimanapun, katanya, pandangan itu berubah selepas melihat kesungguhan Ab Rauf melaksanakan tanggungjawab dan memberi perhatian kepada kepentingan rakyat.

“Tok Rauf okey dah. Aku mula-mula tak suka Tok Rauf sebab cara dia ambil kuasa dengan Tok Leman, tetapi bila tengok kesungguhan dia pada rakyat Melaka, orang sebegini harus dia kekalkan,” katanya.

Pengguna lain, Hafezul Latif, turut mengakui pernah membuat penilaian awal terhadap Ab Rauf berdasarkan persepsi, namun kemudiannya melihat beliau sebagai pemimpin yang mampu melaksanakan tugas serta aktif turun ke lapangan.

“Awal-awal saya termakan fitnah dan judge daripada fizikal dia. Lama-lama dia ini boleh buat kerja rupanya. Dan rajin turun bawah, jauh daripada expectation awal,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Abu Kalila yang bukan anak kelahiran Melaka tetapi telah menetap di negeri itu hampir lapan tahun bersama keluarganya, turut memberikan penilaian positif terhadap kepimpinan Ab Rauf.

Menurutnya, Ab Rauf lebih menonjolkan pendekatan bekerja dan bertindak berbanding banyak bercakap, selain konsisten turun padang.

“Saya bukan orang Melaka dan tak lahir di Melaka. Cuma dah dekat lapan tahun menetap di Melaka dengan keluarga. Tok Ab Rauf Yusoh ini pemimpin yang humble.

“Jenis lebih kepada action atau buat kerja daripada bercakap, turun padang bukan bermusim. Tahniah orang Melaka dapat pemimpin macam ini, asyik lebihkan rakyat je,” katanya.

Pandangan positif turut disuarakan Farhan Rosli yang menyifatkan sebahagian wakil rakyat UMNO di bawah kepimpinan Ab Rauf sebagai pemimpin yang dipercayai mampu melaksanakan tanggungjawab.

Muhammad Faiz Zulkifli Auni pula berkata kehadiran barisan kepimpinan berkenaan masih memberikan keyakinan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Melaka.

Othman Jaya turut menyatakan sokongan agar kepimpinan sedia ada dikekalkan selain menggesa usaha memperkukuh BN dan UMNO di negeri itu diteruskan.

“Ya, amat setuju. Kekalkan satu jiwa satu harapan agar BN UMNO maju ke depan,” katanya.

Nani Nasri pula menyifatkan Ab Rauf bersama pasukannya sebagai “cukup bagus dan baik”, selain berharap kepimpinan berkenaan terus membuat keputusan terbaik untuk rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Fakhri Shatibi turut mengakui Ab Rauf kerap turun padang menghadiri pelbagai program bersama masyarakat.

“Tok Rauf selalu turun, banyak program. Lima tahun pun pengamatan,” katanya.

Perkembangan itu memberi gambaran bahawa sebahagian penilaian terhadap Ab Rauf kini mula beralih daripada persepsi ketika beliau mengambil alih pentadbiran negeri kepada prestasi kerja, pendekatan turun padang dan keupayaan melaksanakan agenda untuk rakyat.

Namun, pandangan yang dikongsi di media sosial itu merupakan respons individu dan tidak semestinya mewakili keseluruhan sentimen rakyat Melaka.