Nasional Utama

CTOS SME Biz Day himpun 1,500 usahawan, fokus perkasa PKMS melalui pembiayaan dan digitalisasi

PETALING JAYA – Lebih 1,500 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS), pemilik perniagaan, pembuat dasar serta pemain industri berhimpun pada CTOS SME Biz Day 2026 bagi membincangkan strategi memperkukuh daya saing sektor perniagaan kecil dalam era ekonomi digital.

Program yang berlangsung di One World Hotel itu dirasmikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan menjadi lokasi pertama daripada siri jelajah CTOS SME Biz Day 2026 yang turut akan diadakan di Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Dalam ucapannya, Amir Hamzah menegaskan sektor PKMS terus menjadi tunjang utama ekonomi negara dengan mewakili 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia.

Beliau berkata, sektor berkenaan turut menyediakan sekitar 70 peratus peluang pekerjaan serta menyumbang hampir 48 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bersamaan RM652 bilion pada tahun 2024.

“Kerajaan terus komited memperkukuh ekosistem PKMS melalui pelbagai inisiatif termasuk memperluaskan akses pembiayaan menerusi Dana PKS Bank Negara Malaysia, skim jaminan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Geran Digitalisasi PKS oleh SME Corp Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 turut menjadi antara langkah penting bagi meningkatkan ketelusan dan perlindungan kewangan kepada perniagaan serta pengguna.

Amir Hamzah turut menekankan kepentingan infrastruktur data kredit yang kukuh dalam memperluas keterangkuman kewangan dan memudahkan perniagaan mendapatkan akses pembiayaan yang lebih adil.

Katanya, maklumat kredit yang tepat dan boleh dipercayai membantu peminjam membuat keputusan kewangan yang lebih baik, selain meningkatkan keyakinan institusi kewangan terhadap perniagaan yang mempunyai rekod kredit yang baik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital Berhad, Ankur Sehgal berkata, akses kepada data yang berkualiti menjadi faktor penting dalam membantu syarikat membuat keputusan perniagaan yang lebih tepat dan berasaskan maklumat.

Pada program sama, CTOS turut memperkenalkan CMX, iaitu versi baharu platform CTOS Credit Manager yang dibangunkan bagi membantu syarikat memantau risiko pelanggan, mengurus keputusan kredit dengan lebih berkesan serta melindungi aliran tunai perniagaan.

Platform tersebut dilengkapi antara muka yang lebih moden, ciri kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti risiko lebih awal serta sistem pemantauan yang mampu memberikan amaran dan tindakan pantas kepada pengguna.

Pelancaran penuh CMX dijadualkan pada penghujung tahun 2026. – WacanaKini