JOHOR BAHRU – Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang terselamat selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Tampoi kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan intensif di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Mangsa dilaporkan menjalani pembedahan hari ini susulan kecederaan parah yang dialaminya dalam kejadian yang turut meragut nyawa kakaknya berusia 12 tahun.
Bapanya ketika dihubungi memaklumkan beliau sedang menguruskan proses rawatan anaknya dan enggan mengulas lanjut mengenai keadaan semasa mangsa.
“Saya mahu menghantar anak ke bilik pembedahan,” katanya ringkas.
Dalam kejadian yang berlaku kelmarin, dua beradik itu dipercayai terjatuh atau terjun dari tingkat 12 sebuah pangsapuri 24 tingkat sebelum ditemukan di aras tujuh berhampiran kawasan kolam renang.
Insiden tersebut mengakibatkan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala adiknya mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Kejadian berkenaan turut disaksikan beberapa penduduk yang berada di kawasan pangsapuri ketika itu.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 8.27 pagi daripada seorang wanita tempatan.
Menurut beliau, pemanggil memaklumkan dua kanak-kanak dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di kawasan Tampoi.
“Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di hospital,” katanya.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. – WacanaKini
