KULAI – Polis sedang memburu beberapa individu yang dipercayai menutup laluan di Lebuhraya Linkedua bagi membolehkan dua penunggang motosikal berlumba sesama sendiri dalam kejadian yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 33 saat berhubung kejadian itu yang dimuat naik menerusi Facebook pada petang Sabtu.
Menurut beliau, rakaman berkenaan menunjukkan dua motosikal yang tidak dapat dikenal pasti jenis serta nombor pendaftarannya dipercayai berlumba dari Kilometer (KM) 33 berhampiran susur Tol Senai Utara hingga KM31 di susur Johor Premium Outlet (JPO).
“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kulai sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti penunggang motosikal yang terlibat.
“Individu lain yang dipercayai berada di lokasi kejadian dan menyaksikan perbuatan tersebut dari tepi lebuh raya juga sedang dikesan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tindakan sekumpulan individu dipercayai terlibat dalam kegiatan samseng jalanan itu mencetuskan kemarahan pengguna media sosial apabila mereka didakwa membuat sekatan terhadap laluan lebuh raya untuk memberi ruang kepada perlumbaan motosikal.
Perbuatan berkenaan dipercayai berlaku pada awal pagi dan turut menjejaskan pergerakan pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507. – WacanaKini
