Nasional Utama

MCW gesa siasatan menyeluruh flat tular Sungai Tekali, persoal kegagalan penguatkuasaan

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap kewujudan sebuah bangunan empat tingkat di Sungai Tekali, Hulu Langat yang didakwa dibina tanpa kelulusan, sambil mempersoalkan keberkesanan penguatkuasaan pihak berkuasa dalam menangani isu tersebut.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, perhatian tidak seharusnya tertumpu kepada latar belakang penghuni atau isu etnik semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada aspek pematuhan undang-undang, keselamatan struktur bangunan serta kemungkinan berlaku kelemahan tadbir urus.

Menurut beliau, jika dakwaan bahawa bangunan itu dibina tanpa kelulusan pelan, kebenaran merancang, sijil keselamatan atau permit pihak berkuasa tempatan adalah benar, timbul persoalan bagaimana sebuah struktur berskala besar boleh wujud dan beroperasi dalam tempoh yang lama tanpa tindakan tegas.

“Isu yang perlu dijawab ialah bagaimana bangunan sebesar itu boleh dibina dan digunakan tanpa penguatkuasaan berkesan daripada agensi yang bertanggungjawab.

“Ia bukan sekadar soal penghuni atau etnik tertentu, tetapi membabitkan integriti sistem pentadbiran dan pematuhan terhadap undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan.

MCW turut mengambil maklum bahawa premis berkenaan pernah menjadi sasaran operasi bersepadu pada Februari tahun lalu yang menyaksikan puluhan warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Bagaimanapun, Jais berkata, perkembangan itu menimbulkan persoalan mengapa isu berkaitan bangunan berkenaan masih berlarutan sehingga kini walaupun tindakan penguatkuasaan pernah dijalankan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah, JIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjalankan siasatan menyeluruh terhadap status bangunan tersebut.

Pada masa sama, MCW turut menuntut audit integriti terhadap proses penguatkuasaan yang telah dilaksanakan sebelum ini bagi mengenal pasti sebarang kelemahan atau kegagalan dalam tindakan susulan.

“SPRM juga wajar meneliti sama ada terdapat unsur rasuah, perlindungan, salah guna kuasa atau kecuaian yang memungkinkan pembinaan dan pengoperasian bangunan ini berterusan tanpa tindakan sewajarnya.

“Kami juga menggesa laporan status sebenar bangunan ini didedahkan kepada umum bagi mengelakkan spekulasi serta sentimen yang boleh mengeruhkan keadaan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan setiap individu sama ada warganegara atau bukan warganegara perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, kegagalan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan dan pentadbiran awam.

Sebelum ini, tular sebuah video yang memaparkan kewujudan flat empat tingkat di kawasan terpencil Sungai Tekali yang didakwa dibina secara tidak sah dan dihuni warga asing termasuk komuniti Rohingya.

Pendedahan itu dibuat oleh penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin atau Pak Azad, yang merakam keadaan bangunan berkenaan ketika melalui kawasan tersebut.

Rakaman itu menunjukkan struktur bangunan yang kelihatan uzur dengan beberapa ciri pembinaan yang mencetuskan persoalan, termasuk sambungan utiliti serta keadaan fizikal bangunan yang didakwa tidak memenuhi piawaian keselamatan. – WacanaKini