KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor diperintahkan Mahkamah Tinggi membayar ganti rugi sebanyak RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berhubung kehilangan 43 unit barang kemas mewah yang didakwa dipinjamkan kepadanya.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Quay Chew Soon selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat berkenaan terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mahkamah mengarahkan Rosmah menjelaskan jumlah ganti rugi tersebut dalam tempoh sebulan bermula hari ini.
Selain itu, beliau turut diperintah membayar kos keseluruhan RM150,000, merangkumi RM75,000 kepada pihak plaintif dan RM75,000 lagi kepada pihak ketiga yang dinamakan dalam kes berkenaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan.
Dalam penghakimannya, Hakim Quay berpuas hati bahawa pihak plaintif telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rosmah berhubung kegagalan memulangkan barang kemas yang dihantar kepadanya secara konsainan.
Mahkamah turut mendapati Rosmah cuai dalam memastikan keselamatan dan pemulangan 43 unit barang kemas tersebut kepada syarikat berkenaan. – WacanaKini
