Politik Utama

Kerajaan Johor terus berfungsi sebagai pentadbiran sementara menjelang PRN

JOHOR BAHRU – Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor akan terus beroperasi sebagai kerajaan sementara bagi memastikan urusan harian dan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas sepanjang tempoh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis, meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah dibubarkan pada 1 Jun lalu, pengurusan pentadbiran negeri masih berjalan seperti biasa dan memerlukan pemantauan berterusan.

Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Istana Pasir Pelangi pada Rabu.

Sesi menghadap tersebut bertujuan mempersembahkan perkembangan semasa serta maklumat terkini berkaitan urusan pentadbiran kerajaan negeri sepanjang tempoh kerajaan sementara.

Menurut kenyataan itu, pertemuan berkenaan merupakan sebahagian daripada amalan berkala antara Seri Paduka Baginda dan Menteri Besar yang diteruskan bagi memastikan kelancaran pengurusan negeri selepas pembubaran DUN.

“Walaupun DUN Johor telah dibubarkan, urusan pentadbiran harian negeri tetap perlu dilaksanakan dengan teratur bagi memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara,” menurut hantaran tersebut.

Johor kini berada dalam fasa kerajaan sementara sementara menunggu proses pilihan raya negeri yang bakal berlangsung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan Mesyuarat Khas pada Jumaat bagi menetapkan tarikh penting termasuk hari penamaan calon, hari mengundi dan tempoh berkempen bagi PRN Johor serta Negeri Sembilan. – WacanaKini