KELANA JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak dakwaan kononnya badan induk itu tidak membentangkan laporan audit kewangan sejak 2016, sebaliknya menegaskan semua laporan kewangan yang telah diaudit dibentangkan mengikut prosedur dalam kongres rasmi persatuan.
Dalam kenyataan pada Sabtu, FAM memaklumkan laporan kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 turut telah dibentangkan kepada ahli gabungan semasa Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2026 yang berlangsung pada Khamis lalu.
Menurut FAM, setiap laporan kewangan terlebih dahulu melalui proses semakan dan penelitian di peringkat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan serta Jawatankuasa Eksekutif (Exco) sebelum dibawa untuk kelulusan kongres.
“Laporan kewangan FAM diaudit oleh juruaudit bertauliah tempatan selain turut tertakluk kepada semakan badan antarabangsa seperti FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana FAM menerima dana daripada kedua-dua organisasi tersebut,” menurut kenyataan itu.
Selepas diluluskan dalam kongres, laporan berkenaan akan dihantar kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) menerusi sistem MyKBS untuk tujuan pengesahan dan rekod rasmi.
Mengulas isu pembentangan bajet tahunan, FAM menjelaskan bahawa bagi tempoh 2020 hingga 2022, bajet tidak dibentangkan dalam kongres kerana tiada keperluan statut pada ketika itu. Namun, ia tetap diteliti dan diluluskan oleh Exco serta Jawatankuasa Kewangan.
Bagi tempoh 2023 hingga 2025 pula, FAM memaklumkan pindaan statut telah dilaksanakan selaras dengan saranan FIFA yang mewajibkan pembentangan bajet dalam kongres.
Bagaimanapun, badan induk bola sepak negara itu mengakui terdapat kelemahan dalam pelaksanaan proses berkenaan dan berjanji akan memperkemaskan aspek tadbir urus kewangan pada masa hadapan.
“FAM memandang serius perkara ini dan komited untuk memastikan semua proses kewangan serta tadbir urus dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Sebagai bukti komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti, FAM turut menegaskan bahawa badan itu menerima penarafan lima bintang daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan selama lima tahun berturut-turut bermula 2018 hingga 2022.
Selain itu, FAM turut menerima pengiktirafan antarabangsa termasuk Anugerah Dream Asia AFC 2019 kategori Inspirasi (Gangsa) serta disenaraikan antara tiga persatuan bola sepak terbaik Asia dalam kategori pembangunan akar umbi pada Anugerah AFC ke-29 di Riyadh. – WacanaKini
