KUALA PILAH – Putera kedua Yang di-Pertuan Besar (YDPB) Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz, dimasyhurkan sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Pemasyhuran tersebut berlangsung dalam satu istiadat rasmi di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada Khamis dan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin.
Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bersama barisan Exco kerajaan negeri.
Menurut kenyataan Istana Besar Seri Menanti, pemasyhuran itu dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan Tunku Panglima Besar.
“Ke Bawah Duli Tuanku menzahirkan keyakinan bahawa Yang Amat Mulia Tunku Zain selaku Tunku Panglima Besar akan terus memainkan peranan penting dalam menjunjung kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan serta memelihara kepentingan rakyat dan negeri,” menurut kenyataan tersebut.
Tunku Zain, 44, memiliki latar belakang akademik yang cemerlang dengan pendidikan awal di Sekolah Alice Smith, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian ke Marlborough College di United Kingdom dan memperoleh Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Politik Perbandingan dari London School of Economics and Political Science.
Selain aktif dalam institusi pendidikan tinggi, beliau kini memegang pelbagai jawatan penting termasuk Canselor Universiti UCSI, Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Presiden Kolej ICAN serta Felo Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau juga dikenali sebagai Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), sebuah badan pemikir yang memberi tumpuan kepada pembangunan dasar awam berasaskan prinsip kedaulatan undang-undang, kebebasan dan keadilan.
Di bawah IDEAS, beliau turut mengasaskan IDEAS Autism Centre dan IDEAS International Secondary School yang memberi fokus kepada pendidikan inklusif serta pembangunan modal insan.
Dalam sektor korporat, Tunku Zain memegang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Pengerusi Omesti Berhad, Excelerate Malaysia dan Enotech Pictures selain menganggotai lembaga beberapa syarikat dan yayasan yang terlibat dalam bidang pendidikan, pembangunan belia serta pemerkasaan komuniti.
Pelantikan beliau dibuat selepas kekosongan jawatan itu susulan Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar tidak lagi menyandang gelaran berkenaan.
Sebelum ini, pihak istana mengesahkan Tunku Nadzaruddin kehilangan gelaran Tunku Panglima Besar selepas cuba menerima gelaran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menerusi satu majlis di Alor Gajah, Melaka yang disifatkan tidak sah dan tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang serta adat istiadat Negeri Sembilan. – WacanaKini
