Politik Utama

PM Anwar wajar terus terajui negara jika tiada parti raih majoriti PRU16

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai calon paling layak untuk meneruskan kepimpinan negara bagi penggal kedua sekiranya tiada parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusi Biro Pekerja PKR Selangor, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid berkata, dalam suasana politik yang semakin dinamik dan tidak menentu, pengalaman serta rekod pentadbiran Anwar menjadikan beliau tokoh paling sesuai untuk menerajui negara.

Menurutnya, perubahan landskap politik termasuk perkembangan terkini melibatkan hubungan antara parti-parti pembangkang menunjukkan keperluan kepada kepimpinan yang mampu menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Anwar telah membuktikan keupayaannya memimpin negara dalam tempoh yang mencabar sejak mengambil alih pentadbiran pada November 2022.

“Pelbagai pembaharuan dan inisiatif yang diperkenalkan menerusi kerangka Malaysia Madani memberi kesan positif kepada rakyat serta sistem pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, pelbagai pihak termasuk ahli akademik dan pemerhati dasar menyuarakan kebimbangan terhadap kedudukan ekonomi negara, kestabilan politik serta aspek tadbir urus.

Namun, katanya, beberapa pencapaian kerajaan ketika ini termasuk usaha mengurangkan kemiskinan tegar, memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan meningkatkan keyakinan terhadap institusi negara membuktikan keberkesanan pendekatan yang dilaksanakan.

“Antara kejayaan yang sering diketengahkan ialah usaha menangani kemiskinan tegar serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.

“Ia merupakan pencapaian yang wajar dinilai secara objektif oleh rakyat dalam membuat pertimbangan politik pada masa akan datang,” katanya. – WacanaKini