ISLAMABAD – Malaysia dan Pakistan bersetuju memperkukuh kerjasama dalam pelbagai aspek keselamatan dan penguatkuasaan bagi menangani cabaran jenayah serta ancaman rentas sempadan yang semakin kompleks.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu antara fokus utama perbincangan dua hala beliau dengan Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan, Syed Mohsin Raza Naqvi, sempena lawatan rasmi dua harinya ke negara itu.
Menurut beliau, kerjasama yang dibincangkan merangkumi bidang kepolisan, perkongsian risikan, pencegahan keganasan, pembanterasan dadah dan jenayah rentas sempadan, selain keselamatan siber, imigresen, pemerdagangan orang, pengurusan banduan serta penguatkuasaan maritim.
“Lawatan ini bukan sekadar mempererat hubungan sedia ada antara Malaysia dengan Pakistan, tetapi juga menjadi ruang untuk kita memperluas kerjasama dan berkongsi pengalaman dalam bidang keselamatan serta penguatkuasaan.
“Pertemuan ini membuka ruang untuk mengenal pasti bidang kerjasama yang praktikal, berimpak dan mampu diterjemahkan kepada tindakan susulan yang jelas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Saifuddin berkata, kedua-dua negara turut bersetuju secara prinsip menubuhkan sebuah kumpulan kerja atau Working Group melibatkan kedua-dua kementerian.
Katanya, mekanisme itu akan berperanan menyelaras tindakan susulan serta memastikan setiap kerjasama yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Pakistan dalam memudah cara dialog antarabangsa yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Pada masa sama, Saifuddin turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam membantu memudah cara rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja.
Terdahulu, pada hari pertama lawatannya, beliau menerima kawalan kehormatan daripada Federal Constabulary sebelum meletakkan kalungan bunga dan menghadiahkan al-Fatihah di Martyrs’ Memorial sebagai penghormatan kepada wira negara Pakistan.
Beliau turut mengadakan lawatan ke Islamabad Police Lines bagi menyaksikan perbarisan khas serta bertemu pegawai dan anggota polis di ibu negara itu.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Pakistan atas undangan dan layanan yang diberikan sepanjang lawatan berkenaan, selain menyampaikan salam daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – WacanaKini
