KOTA BHARU – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan berangkat meninjau lokasi kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur, di sini yang memusnahkan 29 buah rumah pada malam Rabu.
Keberangkatan baginda bukan sahaja bagi melihat sendiri kesan tragedi yang menimpa penduduk, malah turut menyantuni mangsa-mangsa kebakaran serta mengurniakan sumbangan sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib mereka.
Perkara itu dimaklumkan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud menerusi hantaran di Facebook rasminya.
Menurut beliau, kehadiran Sultan Muhammad V ketika rakyat berdepan musibah mencerminkan sifat prihatin dan kasih sayang seorang raja terhadap rakyat jelata.
“Keberangkatan Tuanku pada saat rakyat diuji dengan kesusahan memberikan kekuatan dan harapan kepada mangsa yang terlibat, selain menzahirkan keprihatinan institusi diraja terhadap kebajikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, lawatan tersebut turut memberi ketenangan kepada penduduk yang terkesan apabila baginda berkenan mendengar sendiri keadaan serta keperluan mangsa di lokasi kejadian.
Mohd Asri turut merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Muhammad V yang berkenan turun padang bagi meninjau keadaan mangsa serta menzahirkan rasa simpati terhadap tragedi berkenaan.
Kebakaran yang berlaku pada malam Rabu itu mengakibatkan 29 rumah musnah, sekali gus menjejaskan kehidupan puluhan keluarga yang kini memerlukan bantuan dan sokongan pelbagai pihak. – WacanaKini
