Nasional Utama

Isu penempatan Rohingya Hulu Langat: Selangor tegas dakwa penguatkuasaan sudah berjalan sejak 2016

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menegaskan isu penempatan dan struktur kediaman yang dikaitkan dengan komuniti Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Hulu Langat bukan perkara baharu, sebaliknya telah melalui pelbagai tindakan penguatkuasaan sejak hampir sedekad lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelbagai agensi kerajaan telah mengambil tindakan berterusan sejak 2016 termasuk mengeluarkan notis amaran, kompaun, menjalankan operasi bersepadu, siasatan serta perobohan terhadap struktur yang dibina tanpa kelulusan.

Menurut beliau, tindakan melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

“Penguatkuasaan terhadap struktur haram di kawasan tersebut bukan isu yang baru timbul. Pelbagai tindakan telah diambil oleh agensi berkaitan sejak 2016 dan usaha pemantauan akan terus dipertingkatkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan atau maklumat tidak tepat yang tersebar di media sosial.

Sementara itu, PDT Hulu Langat memaklumkan bangunan kediaman bertingkat yang menjadi perhatian umum terletak di atas tanah milik persendirian dan sebahagiannya berada dalam kawasan rizab jalan.

Menurut PDT, beberapa struktur kediaman yang dibina tanpa kebenaran di lokasi tersebut pernah didiami warga Rohingya dan sebahagiannya turut melibatkan kawasan rizab sungai.

Sejak 2017, notis amaran pendudukan tanpa kebenaran telah dikeluarkan beberapa kali kepada pihak berkaitan, termasuk notis terbaharu pada Mac lalu di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

Selain itu, operasi perobohan bersepadu turut dilaksanakan melibatkan pelbagai agensi termasuk LUAS, MPKj, PDRM, JKR, TNB dan JPS.

MPKj pula telah mengeluarkan beberapa notis serta tawaran kompaun sejak 2016 atas kesalahan mendirikan bangunan tanpa kelulusan bertulis mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Dalam perkembangan berkaitan, LUAS membuka siasatan pada tahun ini terhadap pihak yang dipercayai membina struktur tanpa kebenaran yang boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau hukuman penjara jika sabit kesalahan.

JIM Selangor juga melaksanakan operasi bersama polis pada Februari lalu yang membawa kepada penahanan 42 warga asing kerana disyaki melanggar peruntukan imigresen.

PDT Hulu Langat menegaskan tindakan merobohkan bangunan kediaman bertingkat yang menjadi tular itu akan diteruskan mengikut prosedur dan undang-undang yang ditetapkan. – WacanaKini