Nasional Utama

Khaled akan menghadap TMJ jelaskan isu pentadbiran ATM

KOTA TINGGI – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam masa terdekat bagi menyembah maklum dan memberikan penjelasan berhubung isu pentadbiran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, sesi menghadap itu juga akan memberi ruang kepada pihak Kementerian Pertahanan menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan oleh Tunku Mahkota Ismail, termasuk teguran baginda berkaitan kepimpinan kementerian serta pembangunan pasukan Rejimen Gerak Khas (RGK).

“Saya percaya kenyataan dan titah itu perlu kita berikan gambaran yang jelas.

“Memang dalam masa terdekat akan ada ruang untuk menghadap dan mungkin kita boleh sama-sama memperbaiki keadaan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran Barisan Nasional Kota Tinggi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Pada Khamis lalu, Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya semua pihak yang terbabit dalam perancangan pembangunan RGK tidak mengubah keputusan yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim demi memenuhi kepentingan mana-mana pihak.

Baginda menyuarakan perkara itu ketika bertitah pada Majlis Perbarisan sempena Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-61 di Mersing.

Dalam titah berkenaan, Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan teguran terhadap beberapa isu membabitkan aspek pengurusan di Kementerian Pertahanan dan kepimpinan ATM.

Menurut Mohamed Khaled, pertemuan bersama baginda nanti diharap dapat memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai perkara yang dibangkitkan, selain membuka ruang untuk memperbaiki sebarang kelemahan berkaitan. – WacanaKini