Mahkamah Utama

Syarikat logistik, dua pengarah didakwa gagal serah dokumen kepada kastam

GEORGE TOWN – Sebuah syarikat pengangkutan dan penghantaran barang bersama dua pengarahnya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan gagal mengemukakan dokumen yang diminta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ami Logistics (Penang) Sdn Bhd serta dua pengarahnya, Shaik Zamry Shaik Kamal Farid, 61, dan Abdul Mutalib Ismail, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat dan kedua-dua individu berkenaan didakwa gagal menyerahkan dokumen yang diperlukan oleh pegawai kastam sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 57(2) Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 57(4)(a) akta sama kerana melanggar peruntukan tersebut, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 79 Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM30,000 atau hukuman penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan Audit Import dan SST, Bahagian Pematuhan, Kompleks Kastam Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah pada 17 Disember 2024.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKDM, D. Karthy Gasedev, manakala kesemua orang kena saman hadir tanpa diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pengurusan lanjut prosiding. – WacanaKini