SHAH ALAM – Pemuda AMANAH Selangor menggesa Pas Selangor menjelaskan pendirian mereka susulan keputusan Pas Pusat menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang menimbulkan persoalan mengenai hala tuju Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Ammar Izham berkata, sehingga kini Pas Selangor masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kedudukan mereka dalam gabungan pembangkang negeri yang diterajui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurutnya, situasi itu menimbulkan tanda tanya sama ada Pas Selangor akan terus bergerak di bawah kepimpinan Bersatu atau mengambil pendirian selaras dengan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti.
“Pas Selangor perlu menjelaskan sama ada mereka masih mahu berada dalam kerangka politik yang diterajui Bersatu di Selangor atau mempunyai pendirian berbeza susulan keputusan Pas Pusat memutuskan hubungan politik dengan parti itu.
“Lebih-lebih lagi, Pas sering digambarkan sebagai parti yang lebih berupaya memimpin PN berbanding Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan.
Ammar turut mempersoalkan kedudukan Mohamed Azmin yang masih memegang jawatan Pengerusi PN Selangor dan Ketua Pembangkang di Dewan Negeri Selangor, walaupun hubungan politik antara Pas dan Bersatu di peringkat pusat telah berakhir.
Beliau berkata, Bersatu sendiri telah menyatakan komitmen untuk terus mempertahankan dan memperkukuh PN, sekali gus mewujudkan situasi yang memerlukan penjelasan daripada Pas Selangor.
Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Selangor mencabar Pas negeri menyatakan secara terbuka sama ada mereka menerima sepenuhnya keputusan Pas Pusat untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, termasuk menolak kepimpinan Mohamed Azmin dalam PN Selangor.
“Jika Pas Selangor benar-benar mematuhi keputusan parti, mereka seharusnya menolak kepimpinan Azmin dan mempertimbangkan perubahan Ketua Pembangkang sebelum Sidang Khas Dewan Negeri Selangor pada 19 Jun ini.
“Namun jika mereka memilih untuk mengekalkan status quo, ia akan menimbulkan persepsi bahawa Pas tidak mempunyai keupayaan untuk memimpin pembangkang, apatah lagi mentadbir negeri,” katanya. – Wacanakini
