Utama

Anwar mahu siasatan TH, Felda dipercepat secara telus

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan terhadap isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu dijalankan secara telus dan disegerakan bagi mengenal pasti punca sebenar permasalahan.

Menurut beliau, sebarang isu yang dikenal pasti tidak boleh dibiarkan berlarutan atau sekadar bergantung kepada laporan pihak pengurusan, sebaliknya perlu diteliti secara menyeluruh di peringkat akar umbi.

“Kita harus tahu sepenuhnya permasalahan. Masalah besar ini bukan tanggungjawab Perdana Menteri untuk mengurus semuanya.

“Bukan sekadar duduk di pejabat, tetapi perlu turun ke lapangan supaya kita tahu permasalahan sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurus Felda 2026, di sini hari ini.

Anwar berkata, setiap isu membabitkan pengurusan, peraturan dan keputusan perlu diberi perhatian serius, termasuk mengambil tindakan susulan terhadap sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan kepentingan kerajaan dan negara.

Tegas beliau, masalah yang telah dikenal pasti tidak seharusnya sekadar dibentangkan kepada pihak atasan sebelum tanggungjawab menyelesaikannya diserahkan kepada pihak lain.

“Saya mahu semua masalah ini diurus dengan serius. Kalau ada masalah, kita mesti tahu masalahnya dan kita mesti ambil tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak yang dipertanggungjawabkan supaya bekerja dengan lebih keras, fokus dan prihatin bagi memastikan setiap keputusan dapat dilaksanakan tanpa berlengah.

Menurutnya, kerajaan juga tidak boleh terus menjadikan masalah legasi atau isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu sebagai alasan untuk menangguhkan penyelesaian.

Anwar turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan program asas yang memberi manfaat kepada rakyat akan disegerakan, termasuk inisiatif yang tidak perlu menunggu pembentangan Belanjawan pada Oktober.

Walaupun ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan sekitar enam peratus, katanya, kerajaan tetap perlu memberi perhatian terhadap tekanan yang dihadapi rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup dan masalah ekonomi.

Semalam, Anwar menegaskan siasatan terhadap dakwaan salah laku yang didedahkan menerusi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH dan Felda bukan didorong unsur dendam politik.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan campur tangan dalam proses siasatan atau keputusan pendakwaan kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa agensi penyiasat dan Peguam Negara. – WacanaKini