Seorang pembantu kedai makan warga Filipina dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan gantian kad pengenalan yang hilang.
Lorna Adilun, 45, dijatuhi hukuman itu selepas pengakuan bersalahnya direkodkan di hadapan Majistret Ellyana Othman hari ini.
Mengikut pertuduhan, wanita yang berasal dari Suluk, Filipina itu didakwa dengan sengaja mengemukakan butiran palsu dalam perkara material ketika membuat Permohonan Gantian Kad Pengenalan Hilang bagi kad pengenalan milik individu lain.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 4.19 petang pada 19 Jun 2026.
Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tertuduh memilih untuk menjalani hukuman penjara selepas mahkamah menjatuhkan hukuman lima bulan terhadapnya.
Lorna memaklumkan mahkamah bahawa dia memperoleh pendapatan kira-kira RM80 sehari dan tinggal bersama majikannya.
Berdasarkan fakta kes, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati imej Sistem Pengecaman Cap Jari Automatik (AFIS) serta cap ibu jari (CIJ) yang diberikan tertuduh ketika proses permohonan tidak sepadan dengan identiti asal pemilik kad pengenalan terbabit.
Susulan itu, wanita berkenaan ditahan pada 18 Ogos lalu ketika hadir ke Pejabat JPN bagi menuntut kad pengenalan baharu yang dipohonnya.
Hasil siasatan lanjut mendapati kad pengenalan berkenaan dipercayai dibeli daripada seorang individu dengan harga RM1,500.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya JPN, Fakhrol Anuar Sani.
