Nasional Utama

Pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukan sekadar tarik pelajar asing – Zambry

PUTRAJAYA – Usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa tidak boleh hanya dinilai berdasarkan jumlah pelajar asing yang memilih untuk melanjutkan pengajian di negara ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sebaliknya, beliau berkata, agenda pengantarabangsaan perlu memberi tumpuan kepada pembentukan ekosistem pendidikan tinggi yang benar-benar bersifat global melalui mobiliti pelajar dan akademik, kerjasama penyelidikan serta pengukuhan jaringan strategik dengan institusi dan negara luar.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan mahasiswa tempatan turut menerima pendedahan antarabangsa, manakala universiti di negara ini mampu memperluas hubungan dan kerjasama di peringkat global.

“Pengantarabangsaan bukan sekadar soal angka atau berapa ramai pelajar antarabangsa yang datang ke Malaysia.

“Ia adalah tentang membina ekosistem pendidikan tinggi yang benar-benar global supaya mahasiswa kita mempunyai pendedahan antarabangsa, universiti kita mempunyai jaringan yang lebih luas dan Malaysia semakin dikenali sebagai destinasi pendidikan tinggi yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi fokus kepada agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.

Perhimpunan itu turut disertai secara dalam talian oleh kakitangan Education Malaysia (EM) yang bertugas di luar negara.

Dalam pada itu, Zambry berkata, EM memainkan peranan penting dalam memperkenalkan kekuatan pendidikan tinggi Malaysia kepada masyarakat antarabangsa, selain membina jaringan dan membuka peluang baharu kepada institusi pengajian tinggi serta mahasiswa tempatan.

Katanya, usaha memperkukuh jenama Malaysia di pentas dunia perlu digerakkan secara bersepadu dengan menampilkan kelebihan negara dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi, budaya dan pengalaman pembelajaran yang berkualiti.

Sementara itu, beliau berkata, penganjuran ASEAN University Games (AUG) yang bakal berlangsung di Malaysia pada Disember ini turut menjadi antara platform penting dalam mengangkat agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Zambry turut menyempurnakan simbolik penyerahan obor AUG sempena program larian obor sebagai sebahagian daripada persiapan menuju temasya berkenaan.

Menurutnya, AUG bukan hanya medan persaingan sukan, malah menjadi ruang untuk menghimpunkan mahasiswa dari seluruh negara ASEAN, sekali gus memperkukuh hubungan persahabatan dan semangat keserantauan.

“Ini juga sebahagian daripada wajah pengantarabangsaan pendidikan tinggi, membawa Malaysia ke dunia dan pada masa sama membawa dunia ke kampus-kampus kita,” katanya.

Beliau menegaskan KPT akan terus memperluaskan usaha pengantarabangsaan bagi memastikan Malaysia kekal relevan dan berdaya saing sebagai destinasi pendidikan tinggi pilihan di peringkat global. – WacanaKini