KUALA LUMPUR – Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan yang melalui kawasan antara Tapah dan Bidor perlu mengambil perhatian susulan penutupan sementara lorong kecemasan dan Smart Lane bagi memberi laluan kepada kerja menaik taraf penghadang jambatan.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan, penutupan itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 1 November dan membabitkan lorong kecemasan dari Kilometer (KM) 329.0 hingga KM329.6.
Turut terlibat ialah laluan Smart Lane antara KM327.0 hingga KM331.2 arah selatan.
Menurut PLUS, kerja naik taraf itu tertumpu kepada penghadang jambatan di KM329.4 dan dilaksanakan bagi meningkatkan aspek keselamatan serta keselesaan pengguna lebuh raya.
“Dua lorong kanan dan kiri di laluan terbabit dibuka dan beroperasi seperti biasa kepada pengguna lebuh raya sepanjang tempoh kerja dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan terbabit, selain mematuhi semua papan tanda keselamatan, arahan petugas dan had laju yang ditetapkan.
Orang ramai juga digalakkan merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan maklumat trafik semasa menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, akaun X @plustrafik serta paparan papan tanda mesej elektronik (VMS) di lokasi terpilih.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada PLUSLine di talian 1800-88-0000.
PLUS turut menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna sepanjang tempoh kerja berkenaan bagi memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kelancaran perjalanan terus terpelihara.
