KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya solat hajat diadakan di semua masjid di seluruh Pahang bagi memohon agar keadaan jerebu yang melanda Sarawak segera pulih.
Menerusi hantaran Kesultanan Pahang, baginda bertitah bahawa usaha dan ikhtiar menghadapi bencana perlu disertai dengan doa, khususnya ketika keadaan jerebu berpotensi menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.
Baginda turut menasihati masyarakat di Sarawak agar sentiasa mematuhi arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa negeri, terutama berkaitan langkah keselamatan dan kesihatan sepanjang keadaan jerebu berterusan.
“Doa dan ikhtiar perlu berjalan seiring dalam menghadapi keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat,” menurut hantaran berkenaan.
Al-Sultan Abdullah hari ini berangkat pulang ke Pahang selepas menamatkan lawatan rasmi selama tiga hari ke Sarawak.
Lawatan tersebut antara lain bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim serta kerjasama erat antara Pahang dan Sarawak.
Situasi jerebu di Sarawak ketika ini terus menjadi perhatian apabila Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan 10 kawasan di negeri itu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat sehingga jam 6 petang tadi.
Antara kawasan yang merekodkan bacaan tertinggi ialah IPD Serian dengan IPU 197, diikuti Kuching (191), Samarahan (178), Sri Aman (177), Sarikei (171), Sibu (160), Mukah (158), Bintulu (157), Samalaju (153) dan Miri (136). – WacanaKini
