MAIWP, rakan korporat perkasa bantuan gelandangan, NextG sumbang RM18,000
KUALA LUMPUR – Usaha membantu golongan gelandangan di ibu negara terus diperkukuh menerusi kerjasama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan sektor korporat, termasuk sumbangan RM18,000 daripada NextG Berhad.
Sumbangan itu disalurkan bagi menyediakan kemudahan asas seperti katil, bantal dan perabot kepada penghuni rumah gelandangan, sekali gus meningkatkan keselesaan golongan berkenaan sepanjang mendapatkan perlindungan sementara.
Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Program Jejak Gelandangan MAIWP Siri 3 Tahun 2026 dengan kerjasama YKN.
Menurutnya, program itu turut disokong syarikat korporat yang menyalurkan zakat menerusi skim wakalah MAIWP, selain menyumbangkan barangan keperluan untuk diagihkan kepada gelandangan di sekitar Pudu Raya.
“Alhamdulillah, kita ada syarikat korporat, NextG yang bermurah hati menyumbang sebanyak RM18,000 dalam bentuk katil, bantal dan perabot lain bagi membantu menyelesaikan keperluan penghuni rumah gelandangan ini.
“Kita juga mempunyai dua wakil yang membayar zakat melalui wakalah MAIWP dan mereka turut memberikan barangan untuk disampaikan kepada golongan gelandangan di Pudu Raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Jejak Gelandangan MAIWP Siri 3 Tahun 2026 di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL), di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron.
Syed Kamarulzaman berkata, program berkenaan merupakan siri ketiga dilaksanakan MAIWP tahun ini sebagai sebahagian usaha berterusan menyantuni golongan gelandangan dan membantu mereka membina semula kehidupan.
Menurutnya, terdapat penghuni pusat transit yang datang dari negeri lain, termasuk Pahang dan Kedah, ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan, namun masih belum memperoleh peluang pekerjaan.
“Mereka datang ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja tetapi belum mendapat pekerjaan, jadi buat sementara waktu mereka menumpang di rumah ini,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan badan korporat melalui pembayaran zakat dan skim wakalah membolehkan bantuan disalurkan secara lebih langsung kepada kumpulan sasar yang memerlukan.
“Ini membuktikan MAIWP turut berperanan menyantuni golongan yang memerlukan dengan mengagihkan zakat yang dibayar supaya mereka yang benar-benar memerlukan mendapat manfaat.
“MAIWP akan terus melaksanakan program seperti ini secara berkala bagi membantu golongan gelandangan dan mereka yang memerlukan di Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, Nordina berkata, PTGKL berupaya menempatkan sehingga 200 penghuni pada satu-satu masa dan kini dihuni kira-kira 70 individu.
Beliau berkata, sejak pusat itu ditubuhkan pada 2016, lebih 5,000 penghuni telah disantuni menerusi pelbagai bentuk bantuan dan program pemulihan.
Menurutnya, kerjasama MAIWP dan YKN turut merangkumi pelbagai kumpulan sasar lain sebelum ini, termasuk golongan orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak serta golongan memerlukan bantuan pendidikan dan latihan kemahiran.
Pada 2023, katanya, MAIWP turut menyalurkan peruntukan RM72,000 bagi Program Khidmat Sukarelawan Komuniti MAIWP yang membabitkan golongan gelandangan dalam aktiviti kesukarelawanan dan khidmat komuniti.
“Kerjasama yang terjalin bukan sahaja membantu memenuhi keperluan semasa, malah membuka ruang kepada kumpulan sasar membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran dan mengubah kehidupan ke arah lebih baik,” katanya.
Nordina berharap kerjasama strategik antara YKN, MAIWP, PPZ-MAIWP dan NextG dapat diteruskan serta diperluaskan bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan gelandangan dan kumpulan memerlukan untuk kembali membina kehidupan. – WacanaKini
