KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas berjaya menjalani pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) pada 12 Ogos lalu.
IJN dalam satu kenyataan memaklumkan keadaan Fadillah kini stabil dan beliau terus menunjukkan perkembangan pemulihan yang baik selepas menjalani pembedahan berkenaan.
Menurut IJN, Fadillah akan meneruskan fasa pemulihan di rumah dengan menjalani rawatan susulan dan program rehabilitasi jantung seperti disarankan pasukan perubatan.
Bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar, IJN turut menasihatkan supaya kunjungan dihadkan kepada ahli keluarga terdekat buat sementara waktu.
Langkah itu penting bagi memberi beliau ruang dan masa secukupnya untuk berehat serta menjalani proses pemulihan sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib berkata, pihaknya berpuas hati dengan perkembangan positif yang ditunjukkan oleh Fadillah sejak menjalani prosedur berkenaan.
“Kami berbesar hati melihat proses pemulihan dan perkembangan positif Timbalan Perdana Menteri II selepas menjalani pembedahan.
“Keadaan beliau telah bertambah baik sehingga membolehkan beliau meneruskan proses pemulihan di rumah dan beliau akan terus menerima rawatan susulan daripada pasukan perubatan,” katanya.
Mohamed Ezani turut memohon semua pihak memberikan Fadillah ruang yang diperlukan bagi membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan.
“Kami dengan penuh hormat memohon pengertian semua pihak untuk memberikan masa dan ruang yang diperlukan kepada beliau bagi membolehkan proses pemulihan sepenuhnya,” katanya. – WacanaKini
