Nasional Utama

Malaysia-Pakistan meterai triti pemindahan banduan, perkukuh kerjasama perundangan

ISLAMABAD – Malaysia dan Pakistan memeterai Triti Pemindahan Antarabangsa Banduan (International Transfer of Prisoners – ITOP), membuka laluan kepada banduan kedua-dua negara menjalani baki hukuman di negara asal masing-masing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemeteraian triti itu menjadi langkah baharu dalam memperkukuh kerjasama keselamatan dan perundangan antara Malaysia dengan Pakistan.

Beliau menandatangani perjanjian tersebut bersama Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan, Syed Mohsin Raza Naqvi, di Pejabat Perdana Menteri Pakistan di sini hari ini.

Majlis berkenaan berlangsung selepas kunjungan hormat Saifuddin ke atas Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif dan disaksikan sendiri oleh pemimpin negara itu.

“Pemeteraian ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Pakistan, khususnya dalam memperkukuh kerjasama keselamatan dan undang-undang antara kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Saifuddin, triti itu merupakan hasil lima siri rundingan yang dilaksanakan sejak September 2025 melibatkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, perjanjian berkenaan kemudiannya mendapat persetujuan Jemaah Menteri pada 13 Mei lalu.

Melalui ITOP, warganegara Malaysia yang menjalani hukuman penjara di Pakistan boleh dipindahkan pulang untuk menghabiskan baki hukuman di Malaysia.

Pada masa sama, banduan warganegara Pakistan yang sedang menjalani hukuman di Malaysia turut boleh dipindahkan ke negara asal mereka tertakluk kepada syarat dan mekanisme yang ditetapkan di bawah triti berkenaan.

Menurut Saifuddin, langkah itu juga membolehkan banduan mengikuti program pemulihan dalam persekitaran yang lebih kondusif serta selaras dengan budaya negara masing-masing.

“Ini turut membolehkan mereka mengikuti program pemulihan dalam persekitaran yang lebih kondusif serta bersesuaian dengan acuan dan budaya negara masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pemeteraian ITOP menambah satu lagi instrumen perundangan dalam hubungan Malaysia-Pakistan, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperluas kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Insya-Allah, hubungan erat Malaysia dan Pakistan akan terus diperkasakan melalui kerjasama yang lebih substantif dalam bidang keselamatan, perundangan dan kepentingan bersama,” katanya. – WacanaKini