PUTRAJAYA – Kualiti udara negara semakin merosot apabila 11 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 6 petang tadi, dengan 10 daripadanya membabitkan kawasan di Sarawak.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 197, hanya empat mata daripada paras sangat tidak sihat yang bermula pada bacaan 201.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, kawasan lain di Sarawak yang turut mencatatkan IPU tidak sihat ialah Kuching (191), Samarahan (178), Sri Aman (177), Sarikei (171), Sibu (160), Mukah (158), Bintulu (157), Samalaju (153) dan Miri (136).
Di Semenanjung pula, Bukit Rambai, Melaka mencatatkan bacaan IPU 152.
“Kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan kawasan di Sarawak yang disebabkan oleh pergerakan asap jerebu daripada pelbagai arah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, sebanyak 57 kawasan merekodkan IPU pada tahap sederhana, manakala tiada kawasan mencatatkan kualiti udara baik setakat jam 6 petang.
Keadaan itu turut dipengaruhi aktiviti kebakaran di rantau ini apabila laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) semalam mengesan 425 titik panas di Kalimantan dan 187 titik panas di Sumatera, berbanding 15 titik panas di Malaysia.
Daripada jumlah titik panas dalam negara itu, tujuh dikesan di Sarawak, masing-masing dua di Johor, Pahang dan Terengganu, selain masing-masing satu di Kelantan dan Melaka.
Menurut Azuri Azizah, Peta Jerebu Serantau ASMC hari ini menunjukkan cuaca kering melanda bahagian selatan rantau ASEAN, dengan kelompok titik panas bertaburan dikesan di beberapa kawasan di Kalimantan.
Kepulan asap sederhana turut diperhatikan di tengah dan selatan Sumatera, manakala jerebu sederhana dilaporkan di bahagian barat Borneo.
Susulan keadaan panas dan kering, JAS memperhebat langkah pemantauan, pencegahan serta penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka di seluruh negara.
Sehingga Ogos, sebanyak 838 titik panas dipantau, manakala 4,147 rondaan darat dilaksanakan menerusi Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT), selain 640 penerbangan dron.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 18 Ogos pula, JAS menjalankan siasatan terhadap 6,603 kes pembakaran terbuka yang dikesan menerusi aduan orang awam dan pengesanan titik panas menggunakan imej satelit.
Azuri Azizah berkata, tindakan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) akan dilaksanakan sekiranya bacaan IPU terus meningkat.
Operasi Pembenihan Awan (OPA) juga boleh dipertimbangkan sekiranya IPU melebihi paras 150 selama lebih 24 jam, tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai.
Orang ramai dinasihatkan supaya memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa serta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka. – WacanaKini
