Jenayah Nasional Utama

Letupan bom di selatan Thailand tidak jejaskan operasi ICQS Rantau Panjang

RANTAU PANJANG – Operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang berjalan seperti biasa pagi ini meskipun beberapa insiden letupan bom dilaporkan berlaku di selatan Thailand malam tadi.

Tinjauan di lokasi mendapati pergerakan keluar masuk di pintu sempadan itu tidak terjejas, dengan kenderaan dari Thailand mula memasuki Kelantan seawal jam 7 pagi.

Pelajar sekolah turut dilihat menggunakan laluan berkenaan, manakala kenderaan dari Malaysia juga terus memasuki Thailand seperti kebiasaan.

Pada masa sama, rakyat Malaysia yang terkandas di Pekan Golok malam tadi susulan pelaksanaan perintah berkurung turut mengambil peluang pulang ke tanah air selepas pintu sempadan dibuka pagi ini.

Seorang rakyat Malaysia yang mahu dikenali sebagai Muin, 35, berkata beliau bersama rakannya terpaksa bermalam di sebuah hotel selepas tidak dapat keluar dari kawasan berkenaan akibat perintah berkurung.

“Alhamdulillah, sekitar jam 7 lebih pagi saya sudah berada di Rantau Panjang. Malam tadi kami tidak dapat pulang kerana perintah berkurung yang dilaksanakan di Pekan Golok menyebabkan saya dan rakan terpaksa menginap di hotel.

“Pagi ini keadaan baik dan pintu masuk ICQS juga dibuka seperti biasa,” katanya.

Insiden keganasan termasuk letupan dan pembakaran dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di selatan Thailand sejak malam tadi, menyebabkan pihak berkuasa memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan terjejas. – WacanaKini